Thursday 28 March 2013

DIARI 25 DASAR BAHASA


DIARI 25 DASAR BAHASA

DASAR BAHASA
Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dalam negara yang berdaulat, Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu juga ialah bahasa rasmi. Bahasa Melayu yang memegang bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi menjadikan bahasa ini menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar, urusan surat-menyurat, laporan, bahasa ilmiah di sekolah dan institut pengajian tinggi.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasa (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang parlimen'

Menurut Profesor Asmah Haji Omar dalam bukunya "Perancangan Bahasa" dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Malaysia telah mengistilahkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara.


Dasar bahasa kedua seperti di Malaysia telah menetapkan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

DIARI 24 SIAPA YANG MAKAN CILI, DIALAH TERASA PEDAS


DIARI 24 ‘Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas’



‘Siapa yang makan cili, dia akan terasa pedasnya’, ungkapan yang kadangkala sangat menyentuh hati apabila mendengarnya. Hal ini demikian kerana kita tidak dapat lari dari kenyataan hidup yang penuh dengan pelbagai ragam manusia dan karenah. Pernahkah anda mendengar ungkapan ini dicorong telinga anda? Adakah ungkapan ini ditujukan kepada anda? Bagaimanakah pula perasaan anda apabila mendengarnya? Adakah anda benar-benar memahami maksud yang ingin disampaikan? Berdasarkan pengalaman saya perjalanan menyelusuri sketsa kehidupan duniawi, ungkapan ini ditujukan kepada seseorang yang membawa maksud sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang dimaksudkan, maka dia akan terasa kesannya. Saya juga pernah mendapat sindiran sebegini yang ditujukan secara rawak, namun kita akan terasa bahang ungkapan itu setelah memahami perkara yang ingin dilontarkan oleh penuturnya.


Adakalanya, kita sering melihat pelbagai ragam manusia yang menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, benci, dan lain-lain perasaan. Kita akan melontarkan perasaan itu melalui kata-kata halus iaitu, bahasa kiasan untuk menjaga kesopanan dalam masyarakat. Ungkapan Tua tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi masih macam orang muda' sering terkeluar oleh diriku dan rakan-rakan apabila melihat orang yang sudah berumur namun masih berperangai tidak sopan terutama di depan khalayak.
Sebenarnya, perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji atau mencela seseorang ialah sindiran. Sindiran dilakukan tanpa berterus-terang.  Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang namun tidak disebutkan secara tepat. Jenis bahasa ini hanya disinggung atau dikias-kiaskan kepada perkara yang lain kerana tidak mahu disebut secara berterus terang. Sifat tidak suka berterus-terang menjadi amalan biasa dalam masyarakat orang Melayu kerana mereka berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain. 
Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati, atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan. Perkara seperti ini dilakukan secara tidak berterus-terang dan penuh hormat. Dengan menggunakan susun kata yang teratur serta bahasa yang beragam, sindiran ini dapat memainkan peranannya yang tersendiri dalam menyedarkan orang yang disindir itu. Perkataan yang berlandaskan ragam sindiran lebih tajam dan lebih pedih kesannya, tetapi kadang-kadang, bahasa sindiran itu tidak pula memberikan apa-apa makna kepada orang yang disindir. Walau bagaimanapun, bahasa yang dikiaskan secara sindiran akan difahami juga oleh orang yang disindir.

DIARI 23 BAHASA BUKAN


DIARI 23 BAHASA BUKAN
Bahasa bukan merupakan ragam bahasa yang memakan kata bukan mendahului kata yang lain. Kita sering menggunakan bahasa bukan tanpa kita sedari dalam kehidupan seharian terutamanya dalam pergaulan rakan sebaya, ibu bapa, rakan sekerja, dan ramai lagi.

Contoh penggunaan bahasa bukan dalam kehidupan seharian:
"Bukan main melaram lagi kamu ni, patutlah lambat sampai."
Kita akan menggunakan dialog di atas setelah menunggu agak lama untuk ke sesuatu tempat yang dijanjikan kerana menghabiskan masa dengan menghias diri. Kebiasannya dialog ini digunakan antara rakan sebaya.
"Bukan saya tak sudi datang ke maljlis esok."
Dialog di atas digunakan oleh seseorang untuk menyatakan rasa serba salah atau bukannya sengaja untuk tidak hadir dalam suatu majlis.
"Bukan sebarangan orang yang akan dapat anugerah itu."
Dialog tersebut biasa digunakan untuk menunjukkan rasa bangga terhadap suatu pencapaian seseorang.
"Bukan senang nak buat kerja tu."
Dialog di atas menyatakan bahawa susah melakukan pekerjaan yang disuruh yang digantikan dengan frasa 'bukan senang'.

DIARI 22 BAHASA DIRAJA


DIARI 22 BAHASA DIRAJA
Bahasa diraja merupakan salah satu ciri pertuturan dan komunikasi sejak dahulu hingga sekarang. Bahasa ini mempunyai ciri khusus yang tersendiri iaitu, perbendaharaan kata dan ungkapan bahasa yang digunakan dalam keluarga diraja. Perkara ini menunjukkan keunikan dan keindahan bahasa Melayu. Bahasa diraja menjadi bahan komunikasi dalam perbualan rasmi dan tidak rasmi dalam golongan kerabat diraja.Bahasa Istana juga merupakan bahasa perhubungan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat jelata. 
Asmah Haji Omar (2004 :1) menggunakan istilah bahasa diraja dan mengatakan bahawa bahasa diraja ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak terdiri daripada keluarga diraja. Bahasa perhubungan antara kalangan keluarga diraja dengan rakyat jelata mempunyai ciri-ciri khusus yang menandakan perbezaan dengan bahasa orang kebanyakan. Penggunaan bahasa istana mengikut konteks, iaitu baik dalam konteks rasmi mahupun konteks tidak rasmi. Konteks rasmi, iaitu penggunaan bahasa istana dalam urusan rasmi. Sementara penggunaan tidak rasmi pula kegiatan kebahasaan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata ketika kegiatan sosial dan kekeluargaan. 
Penggunaan bahasa mengikut konteks menghasilkan variasi bahasa. Kelainan bahasa ini menandakan perbezaan bahasa istana dengan bahasa bukan bahasa istana. Perbezaan ditandai oleh faktor sistem dan makna bahasa dalam komuniti bahasa, iaitu sebutan, kata ganti nama diri, ungkapan, kosa kata dan tatabahasa.


BAHASA DIRAJA
beradu-tidur
bersiram-mandi
istana-rumah
menjunjung kasih-terima kasih
berangkat-pergi
gering-sakit


PENGGUNAAN BAHASA DIRAJA DALAM MAJLIS FORMAL ATAU RASMI
Bahasa diraja (istana) digunakan dalam istana Raja-raja Melayu terutamanya dalam majlis rasmi seperti Hari Keputeraan, Hari Pertabalan juga dalam Perasmian Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

DIARI 21 BAHASA ARKAIK


DIARI 21 BAHASA ARKAIK
Bahasa arkaik merupakan bahasa kuno dan ketinggalan zaman. Bahasa ini tidak digunakan lagi pada zaman sekarang. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Bahasa arkaik juga tidak akan berkembang atau dikenali bahasa mati.
CONTOH: 
·                     Bahasa Sanskrit yang telah mati pada abad ke-2 Masihi. Bahasa ini digunakan di dalam suci agama Hindu seperti kitab Sama Veda, Rig Veda, dan lain-lain. Bahasa ini diajar kepada golongan Brahmin dalam keadaan tertutup dan terbatas. 
·                     Bahasa Kawi, bahasa Latin, bahasa Jawa Kuno



Bahasa arkaik turut meliputi perkataan dahulu yang bersinonim dengan kuno, lama, dan usang.
·                     Hatta, maka, maka sekalian, seraya, syahadan, dan lain-lain
·                     "Hatta, pemergian Puteri Sa'dung ke negari Siam demi menyelamatkan negeri Serendah Sekebun Bunga."

DIARI 20 BAHASA NAIK


DIARI 20 BAHASA NAIK
Bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada yang paling rendah, kemudian perlahan-lahan, langkah demi langkah naik ke atas hingga ke puncak. Bahasa ini sering kali ku dengar sewaktu ibu bapa dan saudara menasihati anak-anaknya yang masih belajar. "Belajarlah rajin-rajin, biar sampai masuk universiti, ambil master dan PHD." Selain itu, bahasa ini juga digunakan untuk menasihati anak-anak supaya berjimat."Simpanlah duit, seposen, dua posen, lama-lama jadi banyak, boleh simpan dalam bank."

                                    

Terdapat juga situasi merangkumi bahasa naik semasa seseorang sedang marah seperti "Kecik-kecik dah pandai mencuri, nanti bila dah besar mesti merompak bank."

Ulasan:
Bahasa naik merupakan bahasa yang mempunyai tingkat atau langkah demi langkah dari peringkat rendah ke atas. Bahasa ini terdapat dalam pelbagai situasi percakapan dalam masyarakat.

DIARI 19 BAHASA MERAJUK


DIARI 19 BAHASA MERAJUK


Bahasa merajuk sering diujarkan oleh orang yang kecewa dan berkecil hati dengan kita. Perkara ini disebabkan  situasi tertentu yang menyinggungnya perasaannya. Bahasa merajuk dapat difahami dengan tingkah laku dan bahasa yang barbaur kecewa daripada seseorang itu.
Situasi ini juga sering didengari dan berlaku dalam kehidupan saya sebagai manusia biasa. Hal ini demikian kerana kadangkala kita tidak dapat memuaskan hati semua orang.

Contoh bahasa merajuk: 
Situasi 1
A:Pergi makan tak ajak aku sekali.
B: Aku tak ingatlah, maafkan aku.
A: Em, tak apa.Aku kan bukan kawan baik kau.

Situasi 2
A: Majlis tu, ramai orang dijemput, tapi kita dia tak jemput pun.
B:Siapalah kita dia nak jemput. Dia jemput orang berpangkat saja.

Ulasan:
Bahasa merajuk sering terdapat dalam kehidupan yang kita yang kadangkala tanpa kita sedar, kita mengujarkan bahasa tersebut bersama nada yang agak kecewa. Oleh itu, kita harus saling bertolak ansur dan sentiasa menjaga perasaan orang agar hubungan sillaturrahim sentiasa terjaga.