Thursday 7 March 2013

Diari 3: Bahasa Chatline


                         
Dalam era yang serba moden dan canggih ini pelbagai kemudahan telah dicipta bagi memudahkan kerja dilakukan dengan pantas dan fleksibel. Penggunaan bahasa ‘chatline’ dalam dunia alam maya seperti di Facebook, Twitter dan sebagainya begitu meluas digunakan dalam kalangan remaja pada hari ini. Namun begitu, terdapat banyak kesalahan bahasa yang digunakan dalam perbualan atau komunikasi yang menggunakan chatline atau lebih dikenali sebagai ‘bahasa chatline’. Jika ‘bahasa chatline’ terus digunakan secara berterusan kemungkinan akan merosakkan bahasa Melayu di persada Negara. Hal ini kerana remaja merupakan golongan yang terpenting dalam memartabatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Bahasa ‘chatline’ nampaknya sudah sebati dalam diri pengguna alam siber pada hari ini terutama golongan remaja untuk berhubung. Memang bahasa ‘chatline’ ini mudah, ringkas dan menjimatkan ruang serta boleh difahami tetapi akan mendatangkan kesan buruk kepada remaja yang masih menuntut ilmu dan kemungkinan besar mereka akan menggunakan bahasa ini dalam perbualan seharian dan dalam penulisan karangan. Keadaan ini akan menyusahkan guru untuk menganalisis kesalahan bahasa yang digunakan oleh pelajar mereka yang kerap menggunakan bahasa ‘chatline’ tanpa sekatan. Maka dengan ini, usaha dan kerjasama daripada semua pihak amat diperlukan agar menyelamatkan bahasa Melayu daripada tenggelam dibawa arus ‘bahasa chatline’ yang begitu menular dalam jiwa remaja.

No comments:

Post a Comment