Thursday 28 March 2013

DIARI 25 DASAR BAHASA


DIARI 25 DASAR BAHASA

DASAR BAHASA
Bahasa Melayu merupakan Bahasa Kebangsaan dalam negara yang berdaulat, Malaysia. Selain itu, bahasa Melayu juga ialah bahasa rasmi. Bahasa Melayu yang memegang bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi menjadikan bahasa ini menjadi bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan awam, bahasa pengantar, urusan surat-menyurat, laporan, bahasa ilmiah di sekolah dan institut pengajian tinggi.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam perlembagaan Malaysia. Fasa (1) Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa : 'Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang parlimen'

Menurut Profesor Asmah Haji Omar dalam bukunya "Perancangan Bahasa" dengan rujukan khusus kepada perancangan bahasa Malaysia telah mengistilahkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa yang melambangkan identiti dan kedaulatan negara.


Dasar bahasa kedua seperti di Malaysia telah menetapkan bahawa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

DIARI 24 SIAPA YANG MAKAN CILI, DIALAH TERASA PEDAS


DIARI 24 ‘Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas’



‘Siapa yang makan cili, dia akan terasa pedasnya’, ungkapan yang kadangkala sangat menyentuh hati apabila mendengarnya. Hal ini demikian kerana kita tidak dapat lari dari kenyataan hidup yang penuh dengan pelbagai ragam manusia dan karenah. Pernahkah anda mendengar ungkapan ini dicorong telinga anda? Adakah ungkapan ini ditujukan kepada anda? Bagaimanakah pula perasaan anda apabila mendengarnya? Adakah anda benar-benar memahami maksud yang ingin disampaikan? Berdasarkan pengalaman saya perjalanan menyelusuri sketsa kehidupan duniawi, ungkapan ini ditujukan kepada seseorang yang membawa maksud sesiapa yang melakukan sesuatu perkara yang dimaksudkan, maka dia akan terasa kesannya. Saya juga pernah mendapat sindiran sebegini yang ditujukan secara rawak, namun kita akan terasa bahang ungkapan itu setelah memahami perkara yang ingin dilontarkan oleh penuturnya.


Adakalanya, kita sering melihat pelbagai ragam manusia yang menimbulkan rasa marah, tidak puas hati, benci, dan lain-lain perasaan. Kita akan melontarkan perasaan itu melalui kata-kata halus iaitu, bahasa kiasan untuk menjaga kesopanan dalam masyarakat. Ungkapan Tua tak sedar diri, rumah dah kata pergi, kubur dah kata mari, tapi masih macam orang muda' sering terkeluar oleh diriku dan rakan-rakan apabila melihat orang yang sudah berumur namun masih berperangai tidak sopan terutama di depan khalayak.
Sebenarnya, perkataan yang digunakan untuk mengata, mengejek, mengeji atau mencela seseorang ialah sindiran. Sindiran dilakukan tanpa berterus-terang.  Bahasa sindiran mengandungi maksud yang ditujukan kepada seseorang namun tidak disebutkan secara tepat. Jenis bahasa ini hanya disinggung atau dikias-kiaskan kepada perkara yang lain kerana tidak mahu disebut secara berterus terang. Sifat tidak suka berterus-terang menjadi amalan biasa dalam masyarakat orang Melayu kerana mereka berpegang kuat pada prinsip menjaga hati orang lain. 
Oleh sebab itu, mereka menggunakan bahasa sindiran untuk menyatakan sesuatu yang terbuku di hati, atau melepaskan perasaan tidak puas hati terhadap sesuatu yang tidak menyenangkan. Perkara seperti ini dilakukan secara tidak berterus-terang dan penuh hormat. Dengan menggunakan susun kata yang teratur serta bahasa yang beragam, sindiran ini dapat memainkan peranannya yang tersendiri dalam menyedarkan orang yang disindir itu. Perkataan yang berlandaskan ragam sindiran lebih tajam dan lebih pedih kesannya, tetapi kadang-kadang, bahasa sindiran itu tidak pula memberikan apa-apa makna kepada orang yang disindir. Walau bagaimanapun, bahasa yang dikiaskan secara sindiran akan difahami juga oleh orang yang disindir.

DIARI 23 BAHASA BUKAN


DIARI 23 BAHASA BUKAN
Bahasa bukan merupakan ragam bahasa yang memakan kata bukan mendahului kata yang lain. Kita sering menggunakan bahasa bukan tanpa kita sedari dalam kehidupan seharian terutamanya dalam pergaulan rakan sebaya, ibu bapa, rakan sekerja, dan ramai lagi.

Contoh penggunaan bahasa bukan dalam kehidupan seharian:
"Bukan main melaram lagi kamu ni, patutlah lambat sampai."
Kita akan menggunakan dialog di atas setelah menunggu agak lama untuk ke sesuatu tempat yang dijanjikan kerana menghabiskan masa dengan menghias diri. Kebiasannya dialog ini digunakan antara rakan sebaya.
"Bukan saya tak sudi datang ke maljlis esok."
Dialog di atas digunakan oleh seseorang untuk menyatakan rasa serba salah atau bukannya sengaja untuk tidak hadir dalam suatu majlis.
"Bukan sebarangan orang yang akan dapat anugerah itu."
Dialog tersebut biasa digunakan untuk menunjukkan rasa bangga terhadap suatu pencapaian seseorang.
"Bukan senang nak buat kerja tu."
Dialog di atas menyatakan bahawa susah melakukan pekerjaan yang disuruh yang digantikan dengan frasa 'bukan senang'.

DIARI 22 BAHASA DIRAJA


DIARI 22 BAHASA DIRAJA
Bahasa diraja merupakan salah satu ciri pertuturan dan komunikasi sejak dahulu hingga sekarang. Bahasa ini mempunyai ciri khusus yang tersendiri iaitu, perbendaharaan kata dan ungkapan bahasa yang digunakan dalam keluarga diraja. Perkara ini menunjukkan keunikan dan keindahan bahasa Melayu. Bahasa diraja menjadi bahan komunikasi dalam perbualan rasmi dan tidak rasmi dalam golongan kerabat diraja.Bahasa Istana juga merupakan bahasa perhubungan dalam kalangan kerabat diraja dan rakyat jelata. 
Asmah Haji Omar (2004 :1) menggunakan istilah bahasa diraja dan mengatakan bahawa bahasa diraja ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan di mana sekurang-kurangnya salah satu pihak terdiri daripada keluarga diraja. Bahasa perhubungan antara kalangan keluarga diraja dengan rakyat jelata mempunyai ciri-ciri khusus yang menandakan perbezaan dengan bahasa orang kebanyakan. Penggunaan bahasa istana mengikut konteks, iaitu baik dalam konteks rasmi mahupun konteks tidak rasmi. Konteks rasmi, iaitu penggunaan bahasa istana dalam urusan rasmi. Sementara penggunaan tidak rasmi pula kegiatan kebahasaan antara keluarga diraja dengan rakyat jelata ketika kegiatan sosial dan kekeluargaan. 
Penggunaan bahasa mengikut konteks menghasilkan variasi bahasa. Kelainan bahasa ini menandakan perbezaan bahasa istana dengan bahasa bukan bahasa istana. Perbezaan ditandai oleh faktor sistem dan makna bahasa dalam komuniti bahasa, iaitu sebutan, kata ganti nama diri, ungkapan, kosa kata dan tatabahasa.


BAHASA DIRAJA
beradu-tidur
bersiram-mandi
istana-rumah
menjunjung kasih-terima kasih
berangkat-pergi
gering-sakit


PENGGUNAAN BAHASA DIRAJA DALAM MAJLIS FORMAL ATAU RASMI
Bahasa diraja (istana) digunakan dalam istana Raja-raja Melayu terutamanya dalam majlis rasmi seperti Hari Keputeraan, Hari Pertabalan juga dalam Perasmian Sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

DIARI 21 BAHASA ARKAIK


DIARI 21 BAHASA ARKAIK
Bahasa arkaik merupakan bahasa kuno dan ketinggalan zaman. Bahasa ini tidak digunakan lagi pada zaman sekarang. (Kamus Dewan Edisi Keempat) Bahasa arkaik juga tidak akan berkembang atau dikenali bahasa mati.
CONTOH: 
·                     Bahasa Sanskrit yang telah mati pada abad ke-2 Masihi. Bahasa ini digunakan di dalam suci agama Hindu seperti kitab Sama Veda, Rig Veda, dan lain-lain. Bahasa ini diajar kepada golongan Brahmin dalam keadaan tertutup dan terbatas. 
·                     Bahasa Kawi, bahasa Latin, bahasa Jawa Kuno



Bahasa arkaik turut meliputi perkataan dahulu yang bersinonim dengan kuno, lama, dan usang.
·                     Hatta, maka, maka sekalian, seraya, syahadan, dan lain-lain
·                     "Hatta, pemergian Puteri Sa'dung ke negari Siam demi menyelamatkan negeri Serendah Sekebun Bunga."

DIARI 20 BAHASA NAIK


DIARI 20 BAHASA NAIK
Bahasa yang menyebutkan sesuatu daripada yang paling rendah, kemudian perlahan-lahan, langkah demi langkah naik ke atas hingga ke puncak. Bahasa ini sering kali ku dengar sewaktu ibu bapa dan saudara menasihati anak-anaknya yang masih belajar. "Belajarlah rajin-rajin, biar sampai masuk universiti, ambil master dan PHD." Selain itu, bahasa ini juga digunakan untuk menasihati anak-anak supaya berjimat."Simpanlah duit, seposen, dua posen, lama-lama jadi banyak, boleh simpan dalam bank."

                                    

Terdapat juga situasi merangkumi bahasa naik semasa seseorang sedang marah seperti "Kecik-kecik dah pandai mencuri, nanti bila dah besar mesti merompak bank."

Ulasan:
Bahasa naik merupakan bahasa yang mempunyai tingkat atau langkah demi langkah dari peringkat rendah ke atas. Bahasa ini terdapat dalam pelbagai situasi percakapan dalam masyarakat.

DIARI 19 BAHASA MERAJUK


DIARI 19 BAHASA MERAJUK


Bahasa merajuk sering diujarkan oleh orang yang kecewa dan berkecil hati dengan kita. Perkara ini disebabkan  situasi tertentu yang menyinggungnya perasaannya. Bahasa merajuk dapat difahami dengan tingkah laku dan bahasa yang barbaur kecewa daripada seseorang itu.
Situasi ini juga sering didengari dan berlaku dalam kehidupan saya sebagai manusia biasa. Hal ini demikian kerana kadangkala kita tidak dapat memuaskan hati semua orang.

Contoh bahasa merajuk: 
Situasi 1
A:Pergi makan tak ajak aku sekali.
B: Aku tak ingatlah, maafkan aku.
A: Em, tak apa.Aku kan bukan kawan baik kau.

Situasi 2
A: Majlis tu, ramai orang dijemput, tapi kita dia tak jemput pun.
B:Siapalah kita dia nak jemput. Dia jemput orang berpangkat saja.

Ulasan:
Bahasa merajuk sering terdapat dalam kehidupan yang kita yang kadangkala tanpa kita sedar, kita mengujarkan bahasa tersebut bersama nada yang agak kecewa. Oleh itu, kita harus saling bertolak ansur dan sentiasa menjaga perasaan orang agar hubungan sillaturrahim sentiasa terjaga.

DIARI 18 BAHASA TEMPELAK


DIARI 18 BAHASA TEMPELAK

 Bahasa tempelak merupakan bahasa yang digunakan untuk mengata seseorang dengan perkataan yang tepat, tetapi dengan gaya mengajukkan keburukannya serta mempermain-mainkannya sehingga orang yang mendengar akan mentertawakannya. Kata-kata ini akan menimbulkan perasaan marah orang yang ditujukannya itu.
Bahasa tempelek juga sering berlaku dalam kehidupan seharian kita. Sebagai contoh, apabila aku melakukan perbuatan yang salah walaupun telah ditegur pada awalnya. Bahasa tempelak yang akan terkeluar dari bibir keluarga dan kawan-kawanku.
"Tu lah, orang dah cakap, jangan buat, buat juga, dah rasakan lah balasannya".


Aku juga masih teringat peristiwa, dompetku hilang kerana sewaktu singgah makan di sebuah restoran. Ibuku sudah berpesan supaya menjaga dompet dengan berhati-hati kerana bimbang akan tertinggal dompet yang kubawa ditangan. Namun, dompetku telah tertinggal di restoran tersebut. Ibuku berkata,"Tadi mak dah cakap, jaga baik-baik dompet, nanti tertinggal,susah,orang bagi nasihat tak dengar,". Walau bagaimanapun, aku mengakui kesalahanku kerana ambil mudah nasihat ibuku.


Ulasan:
Bahasa tempelek memang sering kali diujar semasa berada dalam keadaan marah dan menimbulkan rasa tidak senang hati apabila mendengarnya. Walau bagaimanapun, bahasa tempelak juga boleh kita ambil sebagai pengajaran dalam kehidupan atas kesalahan yang dilakukan.

DIARI 17 BAHASA HERDIK


DIARI 17 BAHASA HERDIK
Bahasa herdik merupakan suatu ragam bahasa. Bahasa ini menyerupai bahasa tempelak namun bahasanya lebih keras dan bernada mengejek. Bahasa ini adakala digunakan dalam masyarakat yang tergolong percakapan tidak sopan. Dengan ini, penggunaan bahasa ini hendaklah dielakkan dalam komunikasi antara individu.

SITUASI:
Aku dan rakanku telah mengikuti satu program gotong-royong di kawasan perkampungan sekitar Hulu Bernam. Kami telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan seperti gotong-royang membersihkan surau, memasak makanan tengah hari, dan mengecat pagar. Sewaktu aku dan beberapa rakan yang lain sedang sibuk membuat kerja masing- masing, lima orang sahabat telah meluru ke arah kami sambil memerhatikan kami membuat kerja. Walau bagaimanapun, salah daripada rakanku telah mengeluarkan ujaran berbentuk bahasa herdik.

"Kalau dah datang kemari, tak akan tak reti nak buat kerja, jangan duduk menyemak saja."

ULASAN: Berdasarkan situasi di atas bahasa herdik diujarkan sewaktu kita berasa tidak puas hati terhadap seseorang. Namun, penggunaan bahasa ini tidak sesuai digunakan dalam komunikasi kerana menunjukkan ketidaksopanan penutur. Kita boleh menegur atau menyuruh seseorang dengan cara yang baik.


DIARI 16 BAHASA TERBALIK


DIARI 16 BAHASA TERBALIK

Bahasa terbalik. Apa itu bahasa terbalik? Setiap percakapan yang diujar oleh masyarakat mempunyai ragam bahasa yang tersendiri. Bahasa terbalik merupakan bahasa yang menggunakan perkataan berakas atau terbalik daripada maksud yang hendak disampaikan. Walau bagaimanapun, orang memahami maksud yang ingin disampaikan olehnya. Mengimbau kembali zaman kecil dahulu yang penuh dengan keindahan suka dan duka, kami dibesarkan empat beradik dan mempunyai umur yang agak sebaya menyebabkan ibu sukar untuk mengawasi kami ketika bermain. Pada ketika itu, anak jiran kami juga mempunyai umur yang sama denganku.
Kami selalu bermain basikal, bola, sehinggalah main masak- masak di atas pokok yang rendang di depan rumahku. Ibu selalu melarang kami bermain masak- masak di atas pokok kerana takut kami akan terjatuh. Pada suatu ketika sedang bermain adikku yang paling bongsu terjatuh dari pokok dan terus menangis. Ibu terus memarahi kami, “Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,”. Selain itu, sewaktu kecil aku selalu pulang ke rumah pada waktu yang hampir senja kerana suka mengayuh basikal mengelilingi kampung, ibuku yang mahu mengajarku sengaja mengunci pintu  supaya aku tidak dapat masuk ke dalam rumah. Apabila aku merayu- rayu untuk masuk ke dalam rumah lalu dia berkata, “Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”. Dengan telatah aku bersama adik- adik yang agak nakal, aku bangga dengan ibuku yang sentiasa sabar melayani kerenah anak- anaknya.Terima kasih, ibuku.

Pendapat: Bahasa terbalik ialah bahasa yang berlawanan daripada perkara yang ingin disampaikan oleh seseorang. Melalui situasi di atas, dialog“Kenapa nangis pergilah main lagi, pergi!,” membawa maksud ibu melarang anaknya supaya jangan memanjat dan bermain di atas pokok. Pergilah kayuh basikal tu,tak payah balik rumah,”pula, membawa makna ibu menyuruh anaknya jangan pulang lewat ketika pergi bermain bersama kawan. Secara ringkas, bahasa terbalik digunakan masyarakat untuk menasihati atau melarang supaya tidak melakukan sesuatu yang tidak baik.

Saturday 23 March 2013

Diari 15

BAHASA KOREA LAMA TAK JUMPA
Salam semua,
안녕하세요.

Pada hari ini saya ingin berkongsi frasa di atas ini di dalam bahasa korea.
Boleh digunakan sewaktu bertemu rakan lama samada bertemu muka ataupun hanya bertemu di mukabuku.

Bahasa Melayu

K : Lama tak jumpa!
R : Yalah, lama tak jumpa.
K : Hidup lagi kau ya? Ingatkan dah mati.
R : Apa?! Mamat ni..!
K : Hahaha!

Bahasa Korea

K :
오랜만이에요! (oraenman-ieyo)
R : 
그래! 오랜만이에요.. (geurae! oraenman-ieyo..)
K :
아직 살아? 벌써 죽었어 이라고 생각했어.. (ajig sal-a? beolsseo jug-eoss-eo ilago saeng-gaghaess-eo..)
R :
? 이사람...! (mwo? isaram...!)
K:
하하하
! (hahaha!)

Ok abaikan saja yang lain, tumpukan pada frasa yang pertama disebut mereka di dalam dialog di atas ya.

Lama tak jumpa  :  O-raen-man-ieyo (
오랜만 이에요)

Kata akarnya ;  O-raen-man-ida (
오랜만이다)

Sekadar perkongsian bersama dalam mempelajari bahasa Korea. Bersama -sama kita memperjuangkan bahasa Melayu  ketertinggian maruah bangsa kita.

Diari 14


 Mari Belajar Bahasa Sarawak


 Dibawah ini adalah beberapa perkataan yang sering digunakan didalam percakapan seharian Melayu Sarawak. Untuk makluman semua, Bahasa Melayu Sarawak digunakan dengan meluas di Bahagian Kuching, Sri Aman, Sibu, Bintulu dan Miri. Di Limbang dan Lawas, Bahasa Malaysia adalah perantaraan yang digunakan oleh penduduk setempat. 
Sebutan Bahasa Melayu Sarawak yang ketara adalah pada huruf "r" dimana ditekankan dengan nada yang berat sepertimana sebutan orang Melayu diutara Semenanjung.
Bahasa Melayu Sarawak
Bahasa Malaysia
Kamek
Saya
Kitak
Engkau
Nya
Dia
Sik
Tidak / Tak
Sik Ada
Tiada
Sikboh
Jangan
Kenak
Kenapa
Sitok
Sini
Sinun
Sana
Sia
Disana
Sine
Dimana
Ne
Mana
Madah
Cakap / Beritahu
Kelakar
Bercakap / Bersembang
Sidaknya
Dia orang
Sidak
Orang
Empun
Punya
Kinektok
Sekarang
Dudi
Kemudian
Gago
Sibuk
Ya
Itu
Ari Marek
Kelmarin
Ari Ya
Hari Itu
Bulak
Bohong
Tukuk
Ketuk
Palu
Pukul
Tikam
Baling / Lontar
Congek
Manja
Gelik
Risau
Sigit
Satu