Wednesday 13 March 2013


Diari 9 kehalusan berbahasa


Bahasa halus ialah bahasa yang digunakan secara beradat dan bersopan santun serta menggunakan segala strategi untuk memaniskan percakapan. Penggunaan bahasa halus ini mempunyai beberapa tujuan, antaranya adalah untuk menghormati dan menjaga perasaan orang yang dilawan bercakap, mewujudkan kemesraan dalam perhubungan dan sebagainya. Selain itu, kedudukan, pangkat, umur, dan keakraban antara penutur dan pendengar mempengaruhi pemilihan perkataan dan kata ganti nama. Oleh itu, bahasa halus ialah bahasa yang lebih sopan dan lebih manis serta tidak menyinggung perasaan orang yang mendengar atau membaca. Pada kebiasaannya, bahasa halus disukai oleh semua orang berbanding penggunaan bahasa kasar. Di samping itu, bahasa kiasan dan peribahasa telah digunakan secara meluas untuk menyatakan sesuatu secara halus, iaitu bersopan santun dan tidak terlalu berterus terang.
Berikut adalah beberapa contoh penggunaan bahasa halus:
Bahasa kasar
Bahasa halus
Mati
Meninggal dunia / pulang ke rahmatullah
Orang gaji
Pembantu rumah
Jaga
Pengawal keselamatan
Jamban
Tandas
Kencing
Buang air kecil
Mengandung
Berbadan dua

Pada suatu hari, di dalam kelas, cikgu telah menegur pelajar-pelajarnya mengenai penggunaan bahasa yang kurang sopan atau bahasa kasar, iaitu pelajar telah menggunakan perkataan ‘jamban’ semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tersebut. Beliau mengatakan bahawa perkataan seperti itu hanya sesuai digunakan semasa di rumah atau digunakan sesame sendiri. Maka beliau mengatakan kepada pelajar-pelajarnya supaya menggunakan bahasa baku dalam kelas tersebut supaya pelajar-pelajar lain dapat memahami apa yang akan diperkatakan. Maka perkataan tersebut harus digantikan dengan perkataan yang lebih halus atau sopan, iatu ‘tandas’.
Pada pendapat saya, kita perlu bijak memilih perkataan-perkataan yang sesuai semasa bertutur da harus bergantung kepada situasi atau keadaan persekitaran. Hal ini demikian kerana jika kita tersalah menggunakan  bahasa pada sesuatu situasi, kita akan dianggap sebagai seorang pengguna bahasa yang tidak sopan dan juga akan dikatakan seorang yang tidak beradab. Sebagai contoh, semasa kita berada dalam situasi formal dan melibatkan golongan masyarakat yang mempunyai kedudukan dan pangkat, kita haruslah menggunakan bahasa yang sopan dan halus agar menghormati orang disekeliling. Keadaan berbeza apabila kita bersama-sama rakan-rakan, ahli keluarga atau orang yang rapat dengan diri kita, malah kita bebas untuk menggunakan sebarang perkataan semasa berkomunikasi. Oleh itu, seorang pengguna bahasa yang baik harus peka akan bahasa yang dituturkan demi kabaikan diri sendiri dan orang lain.

No comments:

Post a Comment